KUANTAN: Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Lumpur, Nara @ Nikman Nordin akan fokus kepada kehendak dan keperluan golongan muda jika menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Mereka adalah keutamaan saya. Malah, saya dan jentera parti beri tumpuan kepada pengundi muda untuk membangkitkan kesedaran kepada mereka yang kali pertama mengundi supaya membuat keputusan tepat.
“Saya ambil peduli mendengar keluhan dan masalah mereka dan pada masa sama terangkan kepada mereka apa yang kerajaan telah berikan.
“Kita sudah melihat kecemerlangan kerajaan negeri selepas PRU-14 dan agak mustahil kita menolak kerajaan yang ada sekarang. Tiada janji, lihat bukti.
“Banyak inisiatif dan program yang kerajaan perkenalkan untuk semua peringkat usia seperti Pahang Pride Kid, Pahang Pride Student, Pahang Pride Athlete, Pahang Pride Kasih dan I-Push (usahawan) untuk anak muda,” katanya ketika bertemu penduduk pada program Santai Anak Muda di Sungai Isap di sini.
Justeru, Nara yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuantan menyeru pengundi muda turun membuang undi kerana ia adalah satu tanggungjawab yang sangat besar dan penting dalam menentukan kemakmuran dan kestabilan negara. – NUR HANNAH KHADIJAH