Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@gmail.com
BENTONG: Nasib mangsa kebakaran di Kampung Chamang Baru, Kuala Repas, di sini pada 22 Oktober lalu, mendapat perhatian Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Bilut dan Ketari, Dato’ Sri Mohd Soffi Abd Razak.
Semalam, Mohd Soffi yang juga Ahli Dun (Adun) Benta menghulurkan sumbangan peribadi kepada keluarga mangsa kebakaran terbabit bagi meringankan beban yang dihadapi.
Katanya, sumbangan itu diharap sedikit sebanyak membantu menampung kerugian yang dialami mangsa.
“Di atas makluman itu juga, Dun Benta mengambil inisiatif segera menghantar bantuan seperti pakaian baru dan terpakai, makanan, barang mandian serta kelengkapan tempat tidur supaya mangsa lebih selesa.
“Alhamdulillah bantuan segera daripada Dun Benta ini disampaikan pada hari kejadian yang disampaikan Ketua Kampung Kuala Repas Chamang, Khairuddin Yusuf kepada mangsa,” kata Mohd Soffi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang.
Pada 22 Oktober lalu, kebakaran itu menyebabkan empat rumah dan sebuah bengkel musnah hampir 90 peratus.