JERANTUT: Dua puluh sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Tahan termasuk penduduk Orang Asli Bateq menganggotai pasukan Nature Lifeguard yang pertama di negara ini yang ditubuhkan di Taman Negara, Kuala Tahan.
Timbalan Pengerusi Tourism Pahang, Dato’ Sri Sh Mohmed Puzi Sh Ali berkata, penubuhan pasukan Nature Lifeguard adalah untuk menjaga keselamatan pelancong.
“Anggota pasukan ini dilatih dengan kemahiran asas pertolongan cemas, berenang, menyelamat di air, darat, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan kemahiran mengendalikan bot,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan pasukan Nature Lifeguard APM di Kuala Tahan, dekat sini, semalam. Turut hadir Pengarah APM Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman.
Sempena majlis pelancaran itu, Sh. Mohamed Puzi turut menyampaikan enjin dan perahu sumbangan Malaysian Consultative Council of Islamic Organisation Malaysia (MAPIM) untuk Nature Lifeguard dan sukarelawan APM Kuala Tahan.
Katanya, Nature Lifeguard sudah pun terkenal di negara barat yang mempunyai banyak pusat pelancongan bercorak ekstrem.
“Tourism Pahang berharap kerajaan negeri dan APM akan menambah kelengkapan dan lojistik seperti bot serta peralatan menyelamat dari semasa ke semasa,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE