KUALA LUMPUR: Mana-mana negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) diminta meminda undang-undang tubuh atau enakmen negeri masing-masing selepas pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung akta larangan lompat parti diwartakan.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato Onn di sini, malam tadi.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata MKT UMNO juga menggesa jentera parti di semua peringkat menumpukan kepada kesiapsiagaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) walaupun tarikhnya masih belum ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau berkata, persidangan UMNO cawangan ditetapkan berlangsung mulai 15 Ogos hingga 18 September ini.
“Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian pula ditetapkan bermula pada 7, 8 dan 9 Oktober ini.
“Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian ditetapkan pada 14, 15 dan 16 Oktober, manakala Perhimpunan Agung UMNO pula pada 23 hingga 26 November ini,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.
Beliau menambah, tiada pemilihan jawatan di semua peringkat dalam persidangan cawangan, mesyuarat perwakilan bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO kali ini.
“MKT memperakukan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dengan sedikit pindaan terhadap Perlembagaan UMNO yang berkuatkuasa mulai 29 Julai 2022.
“MKT merakamkan ucapan terima kasih atas kelulusan yang diberikan itu,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN