KUANTAN: Nelayan pantai boleh membantu mengatasi pencemaran sampah plastik di laut dengan cara membawa pulang bahan buangan itu ke darat.
Ketua Pengarah Perikanan, Mohd Sufian Sulaiman berkata, kini terdapat kira-kira 70,000 nelayan pantai di negara ini yang hampir setiap hari turun ke laut untuk mencari rezeki.
Katanya, kerjasama nelayan amat penting dalam memastikan perairan negara tidak tercemar dengan pelbagai sampah.
“Saya juga berharap nelayan yang menggunakan pelbagai produk plastik ketika berada di laut seperti botol air mineral dan beg plastik tidak membuangnya ke laut.
“Kerjasama nelayan, masyarakat setempat dan pelancong mampu mengatasi pencemaran laut ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program ‘Kempen Laut Bebas Plastik’ Peringkat Kebangsaan 2022 di Pantai Sepat, di sini, 18 Ogos lalu.
Turut hadir Pengarah Bahagian Konservasi dan Perlindungan Perikanan, Bohari Leng dan Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar. – MOHD IMRAN IZZAD