Nicky Liow bukan lagi Dato’ Sri

Nicky Liow bukan lagi Dato’ Sri

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Gelaran Dato’ Sri individu dalam buruan, Nicky Liow Soon Hee ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa 21 April lalu.

  Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak berkata, kurniaan Dato’ kepada adik Nicky Liow, Liow Wei Loon turut ditarik balik dan dibatalkan.

  “Penarikan darjah kebesaran ini sebagai menjunjung titah perintah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

  “Sehubungan itu, kedua-dua individu berkenaan tidak dibenarkan memakai sebarang gelaran yang dikurniakan dan perlu mengembalikan darjah kebesaran itu kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang selaras dengan Undang-Undang Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang Negeri Pahang,” katanya.

  Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

  Media sebelum ini melaporkan, polis Johor sedang mengesan seorang ahli perniagaan bergelar Dato’ Sri yang dikehendaki kerana disyaki terbabit dalam sindiket pengubahan wang haram dan jenayah komersial.

  Setakat ini, Nicky Liow masih gagal dikesan dan pihak Polis Antarabangsa (Interpol) mengeluarkan ‘notis merah’ terhadapnya.