Nilai eksport Pahang tahun lalu meningkat meskipun berdepan cabaran COVID-19

Nilai eksport Pahang tahun lalu meningkat meskipun berdepan cabaran COVID-19

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar Mustaffa Kamal

KUANTAN: Walaupun berdepan penularan pandemik COVID-19, Pahang merekodkan eksport sebanyak RM28.8 bilion tahun lalu, meningkat 13.3 peratus berbanding RM25.4 bilion yang dicatatkan pada 2019.

Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata antara penyumbang utama nilai eksport ialah produk berasaskan besi dan keluli yang bernilai RM10. 5 bilion, oleokimia berasaskan minyak sawit (RM1.9 bilion), barangan elektrik dan elektronik (RM863 juta) serta keluaran petroleum bertapis (RM571 juta).

“Nilai eksport Pahang tahun lalu merekodkan peningkatan sebanyak RM3.4 bilion berbanding tahun sebelumnya,” katanya pada sesi soal jawab Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.  

Beliau berkata demikian menjawab soalan daripada Ahli DUN (ADUN) Cheka, Lee Ah Wong (BN) yang meminta penjelasan mengenai perolehan nilai dagangan Pahang.  

Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy berkata, penularan pandemik COVID-19 mungkin menjadi penyebab kelewatan pelaksanaan projek mengatasi masalah air keruh bernilai RM18 juta di tiga loji rawatan air (LRA) di Sungai Semantan, Sungai Bilut dan Sungai Klau.

“Kelewatan ini membabitkan LRA Sungai Bilut yang lewat tiga peratus dan LRA Sungai Klau (lewat 4.42 peratus) manakala kerja-kerja di LRA Sungai Semantan berjalan mengikut jadual.

“Semua projek ini dijadualkan siap pada Februari dan April tahun depan,” katanya menjawab pertanyaan ADUN Tras, Chow Yu Hui (DAP) mengenai status projek terbabit.