PEKAN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya, Dato’ Mohd Nizar Najib tidak memandang ringan kemampuan pihak lawan, walaupun ada yang beranggapan kerusi berkenaan mudah untuk dimenangi.
Katanya, untuk itu, beliau dan jentera kempen parti tidak boleh berasa terlalu selesa untuk memastikan kemenangan di kawasan itu dengan majoriti setinggi mungkin.
“”Saya bekerja hari hari, tak boleh memandang ringan kepada pihak lawan. Kot (ikut) mana pun kita kena hormati lawan kita… kita anggap mereka ni pesaing yang hebat hebat belaka yang dipilih oleh parti masing masing.
“‘Jadi) kita kena ‘all-out’ (bertungkus-lumus) lah bekerja bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan,” katanya kepada Fikrah Pahang di Peramu, semalam.
Ditanya mengenai perancangan jangka pendek dan panjang untuk kesejahteraan penduduk di DUN berkenaan, beliau memberitahu sudah mengatur beberapa perkara yang akan dilakukan mengikut garis masa bersesuaian.
“Antaranya untuk jangka masa pendek, saya nampak ada keperluan mewujudkan padang sintetik bagi membolehkan anak muda main bola sebab sekarang ini mereka terpaksa ke Kuantan sebab di Pekan belum ada.
“Untuk masa depan, saya bercadang nak bawa masuk pelaburan, mungkin kembangkan sektor automotif, teknologi hijau atau agrotek,” jelasnya. – HELMY ABD RAHMAN