PEKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya, Dato’ Mohd Nizar Najib akan berusaha menyelesaikan setiap masalah rakyat kawasan Peramu Jaya secara berperingkat.
Menurutnya, sebagai wakil rakyat yang dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pada 19 November lalu, menjadi tanggungjawab untuk beliau membantu mengatasi setiap masalah yang ada.
“Saya berjanji untuk menyelesaikan apa juga masalah dihadapi rakyat yang kecil dan besar secara berperingkat.
“Saya berharap rakyat dapat bersabar dan memberi kepercayaan kepada saya membantu menyelesaikan satu persatu masalah,” katanya, di sini hari ini.
Beliau berkata, antara masalah yang akan diselesaikan ialah membantu mendapatkan lesen bot menangkap ikan di laut untuk kira-kira 20 nelayan tradisional di Tanjung Gosong.
Mohd Nizar berkata, disebabkan tidak memiliki lesen bot, nelayan terbabit tidak berpeluang mendapat elaun sara hidup disediakan kerajaan termasuk tidak layak membeli minyak bersubsidi yang disediakan kerajaan. – MOHD IMRAN IZZAD