Nurul Ain, Putri Nur Aqeelah ramah bantu proses vaksinasi OKU pekak dan bisu

Nurul Ain, Putri Nur Aqeelah ramah bantu proses vaksinasi OKU pekak dan bisu

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

KUANTAN: Dua penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang mahir berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat banyak membantu melancarkan proses pemberian vaksin COVID-19 kepada golongan pekak dan bisu. 

Bagi Nurul Ain Zakiah Yaccob, 23, pengalaman kali pertama berkomunikasi dengan golongan itu satu pengalaman menguji kesabaran, bermula di peringkat pendaftaran sehinggalah selesai semuanya dibantu.

Nurul Ain yang sedang melanjutkan pengajian dalam bidang kejururawatan, berkata dia tidak mempunyai pengalaman luas menggunakan bahasa isyarat, cuma pernah sekali mengikuti bengkel anjuran UIAM tahun lalu dan selebihnya belajar secara maya.

KUANTAN ..Nurul Ain Zakiah Yaccob berkomunikasi dengan golongan cacat pendengaran dan bisu yang mendapat vaksinasi di PPV di IPT di Dewan Utama UIAM kampus Kuantan.

Nurul Ain berkata, dia tidak pernah berpeluang berkomunikasi secara bersemuka dengan golongan itu dan ia adalah pengalaman pertama berhadapan dengan golongan orang kurang upaya (OKU) itu.

KUANTAN ..Nurul Ain Zakiah Yaccob.

“Saya bersyukur sedikit kemahiran yang dimiliki dapat membantu melancarkan lagi proses pemberian vaksin COVID-19 kepada golongan istimewa itu. 

“Pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila ramai di kalangan mereka menyangka saya juga pekak dan bisu. Saya terpaksa terangkan bahawa saya normal dan sedang menuntut di UIAM kampus Kuantan,” katanya yang berasal dari Temerloh.

Rakannya, Putri Nur Aqeelah Mohammad Farid, 22 berkata walaupun tidak mahir menggunakan bahasa isyarat, dia mampu berkomunikasi dengan golongan terbabit.

“Saya seronok dapat membantu mereka yang saya lihat turut teruja untuk menerima vaksin COVID-19. Tidak banyak masalah sepanjang membantu mereka,” katanya.