Ogos dapat rumah, November dapat isteri

Ogos dapat rumah, November dapat isteri

KUALA KRAU: Kedatangan Ogos tahun ini disifatkan paling bermakna sepanjang hidup Khairul Azman Abdullah Hasim dari Kampung Lipat Kajang, Kerdau di sini.

Mana tidaknya, lelaki itu mendapat ‘hadiah’ hari jadi paling istimewa daripada Kerajaan Pahang apabila terpilih menjadi penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau tahun ini.

Tambah istimewa, dia yang akan menyambut hari kelahiran ke-54 pada 31 Ogos ini, bakal melangsungkan perkahwinan dengan wanita pilihan hati menjelang November nanti.

“Seingat saya, tak pernah lagi rasa gembira dan bahagia seperti tahun ini. Rasa macam nak menangis ada, macam nak melompat pun ada sebab dapat kebahagian bertimpa-timpa.

Khairul Azman Abdullah Hasim dari Kampung Lipat Kajang, 

“Syukur sangat bila terpilih untuk dapat rumah RRP dan amat berbesar hati apabila kunci rumah disampaikan sendiri YAB MB (Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail).

“Terima kasih juga kepada ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Kerdau, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang banyak membantu sehingga saya dapat rumah,” katanya yang hanya bekerja kampung untuk menampung kehidupan.

Menurutnya, dia juga berasa amat bertuah apabila hasratnya untuk berumah tangga dengan wanita pilihan berasal dari Bachok, Kelantan, akan menjadi kenyataan, tiga bulan dari sekarang.

“Tentunya rumah ini akan tambah berseri dengan kehadiran isteri nanti,” katanya yang mempunyai seorang anak perempuan berusia 30 tahun hasil perkahwinan terdahulu.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, pemilihan Khairul Azman sebagai penerima selepas kerajaan negeri berasakan dia layak dan perlu dibantu.

Khairul Azman bin Abdullah Hasim berada dalam keadaan uzur selepas menempuh pembedahan untuk memperbaiki kesihatannya. Beliau tiada kediaman sendiri dan hidup menumpang. 

“Alhamdulillah, saya berkesempatan membuat RRP di Kampung Lipat Kajang dan semoga ia dapat membantu saudara Khairul Azman untuk menjalani kehidupan lebih selesa dan sejahtera.

“Tadi (semalam) saya sempat melawat rumah atau lebih tepat pondok tempat tinggal Khairul Azman sebelum ini… memang sangat uzur dan daif, maka pemilihan ini memang amat tepat,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN