KUALA LUMPUR: Kes pertama membabitkan varian Omicron dikesan di negara ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata kes adalah seorang pengembara bukan warganegara berusia 19 tahun yang tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November lalu, iaitu sebelum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan penularan varian berkenaan.
Katanya, kes kemudian diarahkan menjalani kuarantin secara bersendirian dan didapati patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Kes berkenaan telah menjalani ujian RT-PCR COVID-19 setibanya di PMA (Pintu Masuk Antarabangsa) KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur).
“Kes adalah seorang penuntut di sebuah universiti swasta di Ipoh dan keputusan saringan yang dijalankan ke atas kontak rapat kes adalah negatif,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – HELMY ABD RAHMAN