JERANTUT: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan lima individu yang dikhuatiri dihanyutkan air banjir di tiga lokasi berasingan di Pahang disambung pada kira-kira 7 pagi, hari ini.
Operasi mencari itu membabitkan tiga mangsa di Bobby Eco Camp manakala seorang warga emas di Telemong, kedua-duanya di Bentong.
Selain itu, SAR turut bertumpu di Sungai Belat bagi mengesan lelaki yang terjun dari jambatan di kawasan itu pada 18 Disember lalu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, tiga orang termasuk kanak-kanak lelaki 6 tahun dihanyutkan kepala air dalam kejadian di Bobby Eco Camp, pada 10.40 malam, Sabtu lalu.
“Tiga mangsa ialah sepasang suami isteri yang juga pemilik resort itu dan budak lelaki yang datang ke resort itu bersama keluarganya.
“Kawasan SAR diperluaskan sehingga melebihi satu kilometer dengan tambahan tenaga kerja dan bantuan empat anjing pengesan,” katanya.
Sementara itu, katanya, warga emas yang dicari itu adalah antara 16 orang yang dihanyutkan air sungai yang keruh ketika mereka berada di atas jambatan di Sungai Telemong, kira-kira 2 pagi, pada Ahad lalu.
Beliau berkata, sepuluh daripada 16 individu itu berjaya diselamatkan manakala lima lagi dilaporkan maut selepas mayat mangsa pertama ditemui pada Ahad, diikuti empat lagi semalam.
Di Kuantan, anggota penyelamat masih mencari Mohd Firdaus Supiardi, 26, yang dilaporkan hilang selepas terjun dari jambatan dan dihanyutkan arus deras di Sungai Belat dekat Kampung Sri Damai di sini pada 18 Disember. – MUHAMMAD NAJMIE