Fath Ahnaf
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Gambar hiasan
KUANTAN: Selepas empat hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) nelayan yang hilang di perairan Gebeng, dekat sini, menemui jalan buntu, pasukan penyelamat mengambil keputusan menghentikan operasi berkenaan, hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang, Laksamana Pertama Maritim Dato’ Amran Daud berkata, keputusan itu dibuat dengan persetujuan semua pihak terbabit.
“Hasil penilaian terhadap situasi semasa pencarian dan persetujuan bersama semua agensi yang terbabit serta ahli keluarga, kita membuat keputusan untuk menamatkan operasi SAR ini.
“Bagaimanapun, APMM dan agensi lain yang melaksanakan rondaan rutin di lapangan serta komuniti nelayan berhampiran tetap meneruskan pemantauan dan memaklumkan sekiranya terdapat tanda-tanda penemuan mangsa,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Pada 8 Ogos lalu, seorang nelayan dikenali Ishak Muda, 57, dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke laut ketika keluar menangkap ikan dengan bot pukat jerut di perairan Gebeng, dekat sini.
Kehilangan mangsa hanya disedari tekong selepas bot nelayan itu tiba di jeti Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kemunting, di sini, sebelum kejadian itu dilaporkan kepada pihak berkuasa.