Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad
KUANTAN: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang mengagihkan 569 bakul makanan kepada ketua isi rumah (KIR) masyarakat Orang Asli di bandar yang terkesan berikutan PKP 3.0 dan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).
Pengarahnya, Johari Alwi, berkata agihan dilakukan berperingkat dan diuruskan Pejabat JAKOA setiap daerah.
Menurutnya, setiap KIA akan datang mengikut tarikh dan tempat ditetapkan untuk mengambil bakul makanan masing-masing.
Katanya, daerah ini mencatat jumlah tertinggi Orang Asli menetap di bandar membabitkan 111 KIA diikuti Rompin (98), Muadzam Shah (94), Pekan (70), Temerloh (48), Bentong (46), Bera (32), Lipis (26), Maran (19), Raub (17), Cameron Highlands (10) dan Jerantut (8).
“Mereka yang menetap di bandar melakukan pelbagai kerja dalam sektor awam dan swasta,” katanya.
Antara barangan yang disediakan Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk masyarakat Orang Asli ialah beras, minyak masak, mee, kicap, garam, gula, sardin dan teh.
Nita Rashid, 37 yang menetap di Tanah Putih Baharu, berkata bantuan bakul itu dapat meringankan beban dirinya sekeluarga sepanjang PKP 3.0 dan SSP.
“Saya dapat gunakan bantuan ini lebih sebulan. Beras dan pelbagai makanan asas lain diterima yang menjadi bukti keprihatinan kerajaan kepada masyarakat Orang Asli.
“Saya bersyukur dengan bantuan ini dan berharap lebih banyak pertolongan dapat disediakan pada masa akan datang,” kata yang berasal dari Kampung Orang Asli Batu 14 Gambang.