Orang Asli dah mula ternak belut

Orang Asli dah mula ternak belut

BERA: Kerajaan akan terus berusaha membantu Orang Asli dalam usaha meningkatkan  pendapatan masyarakat terbabit melalui program pembangunan keusahawanan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Dato’ Ramlan Harun berkata, KPLB dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sentiasa mengutamakan pembangunan dan kebajikan Orang Asli.

Malah, katanya, masyarakat terbabit tidak dipinggirkan kerana sejumlah peruntukan yang besar diperuntukkan dalam Belanjawan 2022.

“Saya harap Orang Asli dapat menggunakan peluang yang disediakan kerajaan dalam usaha menambah pendapatan keluarga.

“Orang Asli perlu berani untuk cuba menceburi bidang baharu yang mempunyai peluang cerah untuk berjaya,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Bersama Kepimpinan Orang Asli Daerah Bera dan Penyerahan Projek Kolam Ternakan Belut Komersial membabit tiga peserta di Kampung Orang Asli Chuat, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah KPLB Pahang, Dato’ Aruwan Abdul Aziz dan Pengarah Jakoa Pahang, Johari Alwi.

Ramlan berkata, 10 projek kolam ternakan belut komersial diperkenalkan di negeri ini membabitkan 20 peserta di Bera, Pekan dan Rompin dengan peruntukan RM180,000. – MOHD IMRAN IZZAD