Orang Asli perlu rebut peluang cari duit dalam sektor pertanian

Orang Asli perlu rebut peluang cari duit dalam sektor pertanian

JERANTUT: Masyarakat Orang Asli di negeri ini disaran meninggalkan penggantungan kepada sumber hutan semata-mata dengan mengubah cara hidup dengan menceburi sektor pertanian.

Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA ) negeri, Ahmad Marzuki Salleh berkata, masyarakat itu boleh menceburi bidang pertanian terutama penanaman durian di samping tanaman komersial lain.

“Orang Asli di pedalaman perlu berani berubah dan bersaing secara sihat dengan kaum lain dalam bidang pertanian bagi membantu kerajaan meningkatkan pengeluaran makanan dan ternakan,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Kursus Agronomi Tanaman Durian anjuran JAKOA dan Jabatan Pertanian Pahang serta majlis penyampaian sijil penyertaan kepada 30 peserta Orang Asli di dewan Hotel Darulmakmur, di sini, pada 2 Julai lalu.

Pada program itu, peserta Orang Asli turut dibawa melawat penempatan Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Berjuang dan menerima tunjuk ajar menanam benih durian, cantuman klon bermutu tinggi dan pembuatan crepe durian.

Ahmad Marzuki berkata, pertanian sinonim dengan masyarakat Orang Asli kerana bidang ini diwariskan oleh nenek moyang mereka.

“Cumanya corak pertanian pindah di kawasan hutan dan penempatan perlu diubah secara tetap di kawasan tapak tertentu berdekatan penempatan masing-masing dan menjurus kepada kepada pemasaran,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE