Orang Asli sentiasa dalam keutamaan BN

Orang Asli sentiasa dalam keutamaan BN

BERA: Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO tidak pernah berhenti membantu dan menaik taraf kehidupan Orang Asli. 

YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, berkata memperjuangkan nasib Orang Asli selalu menjadi agenda utama kerajaan, termasuklah dalam menyediakan peluang pendidikan, pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik.

“Sebagai Perdana Menteri, saya mahu Orang Asli setanding dengan kaum lain di Malaysia. BN tidak meminggirkan masyarakat Orang Asli dan ini terbukti apabila wakil Orang Asli diangkat menjadi Senator dan Ahli Parlimen,” katanya.

Ismail Sabri yang juga calon BN bagi Parlimen Bera berkata, sebagai Perdana Menteri, beliau turut meletakkan kembali Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Katanya, ini bagi memastikan tugas JAKOA lebih meluas dalam usaha membantu meningkatkan taraf hidup Orang Asli. 

“Ketika zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH), JAKOA diletakkan di bawah Jabatan Perpaduan Negara, yang gus menunjukkan PH meminggirkan Orang Asli,” katanya ketika berucap dalam Program Moh Ngeteh di Kampung Ibam, di sini, hari ini.

Turut hadir, calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai, Dato’ Sabariah Saidan.

Terdahulu, Ismail Sabri turut menghadiri program sama di Kampung Bukit Rok.

Kehadiran Ismail Sabri disambut meriah masyarakat Orang Asli suku Semelai yang teruja berpeluang bertentang mata dengan YAB Perdana Menteri.