PEKAN: Kerajaan Pahang sentiasa memberi keutamaan dalam menyediakan pelbagai kemudahan kepada masyarakat Orang Asli.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, selain menambah kemudahan yang diperlukan, kerja menaik taraf dan membaik pulih penempatan turut dilakukan secara berperingkat.
Menurutnya, antara kemudahan yang sentiasa diberi keutamaan ialah dewan orang ramai di setiap Rancangan Penempatan Semula (RPS), khusus di penempatan yang mempunyai jumlah penduduk yang ramai.
“Kerajaan Pahang di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail tidak pernah lupa membela nasib Orang Asli di negeri ini.
“Ini termasuk menyediakan peruntukan kira-kira RM5,000 untuk membaik pulih kerosakan Dewan Orang Ramai Kampung Orang Asli Sri Bangkong, Paloh Hinai. Beberapa dewan di tempat lain juga kini dalam tindakan sama,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD