Orang Felda pun dapat RRP lepas ni

Orang Felda pun dapat RRP lepas ni

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Program Rumah Rakyat Pahang (RRP) diperluaskan meliputi tanah hak milik dalam kawasan Felda di negeri ini, kata YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Katanya, langkah itu bagi membantu golongan memerlukan dalam kalangan generasi kedua Felda memiliki rumah di atas tanah milik ayah atau ibu yang juga generasi pertama dalam kawasan tanah rancangan berkenaan. 

“Kerajaan negeri akan meluaskan dan melaksanakan program Rumah Rakyat Pahang (RRP) untuk golongan memerlukan yang turut meliputi tanah hak milik dalam kawasan Felda di Pahang. 

“Dengan ini, rumah RRP bernilai RM65,000 sebuah dan diberi percuma, akan dibina di kawasan sama dengan rumah ayah ibu penerima. Bagaimanapun, keizinan daripada ayah, ibu dan adik-beradik lain diperlukan terlebih dahulu. 

“Keputusan mesra generasi kedua ini dicapai pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada Rabu, 27 Oktober lalu sekali gus membuktikan komitmen kerajaan negeri membantu generasi kedua Felda memiliki rumah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semakan undang-undang mendapati langkah itu dibolehkan, manakala pihak Felda pula tidak mempunyai sebarang halangan kepada pengenalan dan pelaksanaannya. 

Sehubungan itu, katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan terbabit kelak perlu bertindak bagi melicinkan perjalanan program sekali gus  dapat memanfaatkan pihak penerima. 

“Pegawai-pegawai daerah pula, seperti peranan mereka dalam mengenal pasti dan memilih golongan layak menerima RRP di kawasan-kawasan lain, turut dipertanggungjawabkan untuk mengenal pasti dan memilih penerima RRP dalam Rancangan Tanah Felda ini,” ujarnya.