Oleh Muhammad Najmie
fikrahpahang@gmail.com
TEMERLOH: Pembinaan Klinik Kesihatan Kuala Tekal yang baharu bukti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memberikan tumpuan khusus dalam penyediaan perkhidmatan dan kemudahan kesihatan yang terbaik kepada rakyat Pahang.
Kemudahan moden jenis bagaikan sinar baharu yang bakal memberikan perkhidmatan kepada kira-kira lima ribu penduduk, khusus di Kerdau.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pembinaan Klinik Kesihatan Kuala Tekal selaras dengan tekad kerajaan untuk memperbaiki dan meningkatkan perkhidmatan kesihatan di kawasan itu.
“Sebelum ini, perkhidmatan kesihatan yang disediakan bagi kawasan ini adalah di Klinik Desa Kuala Tekal yang sering kali dinaiki air ketika musim tengkujuh,” katanya dalam ucapan perasmian Klinik Kesihatan Kuala Tekal, di sini, semalam.
Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Negeri Kawasan Kerdau, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pengarah Kesihatan Negeri Pahang. Dato’ Dr Nor Azimi Yunus.
Wan Rosdy berkata, pembinaan klinik kesihatan yang baharu ini adalah untuk menggantikan bangunan klinik lama yang berusia 57 tahun.
Katanya, kedudukan klinik itu juga amat sesuai dan strategik untuk memenuhi keperluan penduduk di kawasan Kerdau yang mula beroperasi pada 1 Julai lalu.
Katanya, Kerajaan Pahang tumpang bangga kejayaan dan pencapaian KKM dalam meningkatkan taraf kesihatan rakyat di Malaysia sehinggakan diiktiraf antara terbaik di rantau Asia Tenggara.
“Alhamdulillah, kita kini berada dalam Fasa 4 dan apa yang dilakukan kerajaan amat positif, Saya harap agar rakyat di Pahang yang belum mengambil suntikan vaksin segera berbuat demikian,” katanya.