Orang kurang upaya sentiasa di hati kerajaan

Orang kurang upaya sentiasa di hati kerajaan

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Kerajaan Pahang menyalurkan bantuan RM150,000 kepada Majlis Penasihat Orang Kurang Upaya Negeri Pahang (MPO Pahang) bagi memperkasakan kedudukan komuniti berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin, berkata peruntukan tahunan itu bertujuan melaksanakan mesyuarat dan program bersesuaian untuk pembangunan OKU di Pahang.

Katanya, MPO berperanan untuk menyelia pelaksanaan dasar OKU, membuat syor perkara berkaitan OKU seperti sokongan, penjagaan dan rehabilitasi kepada kelompok.

“Kewujudan MPO Pahang turut membabitkan aktiviti advokasi, pembangunan dan kesejahteraan masyarakat orang istimewa di negeri ini.

“Matlamat penubuhan majlis itu selaras dengan Dasar Orang Kurang Upaya, pelan Tindakan Nasional Orang Kurang Upaya dan Majlis Kebangsaan bagi OKU,” katanya.

Beliau berkata demikian pada  sambutan Hari Orang Kurang Upaya Peringkat Negeri Pahang, di sini, kelmarin. Hadir sama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin.

Shahaniza berkata, MPO Pahang dinaungi YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail. 

“Kita bercadang mengadakan Hari Kerjaya OKU dalam masa terdekat bertujuan memberi penerangan kepada majikan agar memberi ruang pembabitan OKU dalam dunia pekerjaan,” katanya.