LIPIS: Cadangan kerajaan menjadikan Lipis sebagai Bandar Pertahanan Malaysia (Malaysian Defence City) disokong dan disambut baik oleh penduduk daerah ini.
Penduduk Mela, Abdul Manaf Mat, 58 berkata cadangan itu amat baik kerana ia akan merangsang ekonomi penduduk setempat dan dapat mewujudkan banyak peluang pekerjaan.
Katanya, sudah tentu projek besar dan berimpak tinggi ini memerlukan pekerja yang ramai dan membolehkan anak muda menceburkan diri dalam pembuatan senjata dan kelengkapan ketenteraan.
Bagi Shahtinir Othman, 27, dia menganggap pemilihan Lipis amat membanggakan penduduknya jika menjadi kenyataan.
Sementara itu Ahli Parlimen Lipis, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad berkata, beliau menyokong penuh cadangan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Hishammudin Hussein yang disebut di Dewan Rakyat.
Abdul Rahman berkata, pembangunan Bandar Pertahanan Malaysia di Lipis amat sesuai kerana lokasi strategik yang tidak terlalu jauh dengan pusat bandar raya Kuala Lumpur. – MUHAMMAD NAJMIE