Orang makin ramai, sampah pun makin banyak

Orang makin ramai, sampah pun makin banyak

Fath Ahnaf

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Peningkatan pengunjung di kawasan tumpuan seperti pantai dan sungai sejak kelonggaran untuk beriadah diberikan, menyebabkan peningkatan sampah di kawasan terbabit.

Pengarah Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid, berkata anggaran sampah yang dikutip di kawasan pantai atau lokasi tumpuan meningkat sekali ganda berbanding sebelum ini.

“Namun kerja-kerja pembersihan dan kutipan sampah di kawasan terbabit masih berada dalam keadaan terkawal dan tiada limpahan sisa buangan yang berlebihan,” katanya kepada media selepas membuat tinjauan di Pantai Kempadang, di sini, hari ini.

Katanya, terdapat 10 lokasi pantai khususnya di daerah ini yang berada di bawah selenggaraan SWCorp, antaranya Pantai Chendor, Cherating, Pelindung, Gelora, Balok, Batu Hitam, Teluk Cempedak, Sepat, Tanjung Lumpur dan Kempadang. 

“Pekerja pembersihan digerakkan mengikut jadual ditetapkan untuk memastikan kawasan terbabit sentiasa berada dalam keadaan bersih selain mengikut SOP (Prosedur Operasi Standard).

“Setakat ini, kesedaran orang ramai mengenai pengurusan sampah di lokasi tumpuan ini juga tinggi  dan mereka masih mengamalkan sikap prihatin membuang sampah di tempat sepatutnya,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan rekod, penghasilan janaan sisa tahun ini meningkat tujuh peratus iaitu sebanyak 190,764 tan metrik berbanding 177,443 tan metrik tahun lalu.

“Peningkatan ini disebabkan pembukaan sektor ekonomi seperti kedai makan dan restoran yang kembali beroperasi selain kelonggaran pergerakan orang ramai untuk riadah.

“Kita jangka akan berlaku peningkatan dan anggaran peningkatan janaan sampah setakat ini sekitar 13,000 tan metrik berbanding pada Januari hingga Ogos tahun lalu,” katanya.