Orang muda ucap terima kasih, semoga Pahang terus makmur

Orang muda ucap terima kasih, semoga Pahang terus makmur

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang menyambut baik beberapa insentif dan pelaksanaan program baru dengan penumpuan terhadap anak muda seperti diumumkan oleh YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dalam Belanjawan 2022 Pahang Darul Makmur. 

Ketuanya, Mohd Farid Mohd Nor, berkata program berbentuk usaha meningkatkan taraf ekonomi dan pendapatan ini adalah satu langkah yang tepat berdasarkan apa yang diluah dan dikongsi bersama dalam sesi libat urus dan jelajah bajet negeri. 

“Kami juga gembira dengan beberapa pelaksanaan inisiatif lain yang secara tidak langsung walaupun tidak disebut membabitkan anak muda seperti pemberian kad diskaun Pahang Pride kepada pelajar dan hadiah kelahiran kepada bayi yang bakal dilahirkan bermula tahun depan. 

“Program berbentuk ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ dalam bidang ICT melalui Pahang Skills, pelaksanaan Skim Tanah Warisan dan projek Perumahan Makmur dan Prima Pahang yang pastinya akan membabitkan orang muda sebagai sebahagian penerima manfaat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, diharapkan agar semua agensi kerajaan negeri yang diamanahkan untuk melaksanakan semua program yang dirancang itu dapat merealisasikannya dengan pantas dan teratur agar rakyat dapat menikmati faedahnya. 

“Didoakan agar proses pemulihan ekonomi berjalan dengan lancar, kestabilan politik negeri dikekalkan dan perpaduan rakyat berbilang kaum terus utuh menjelang tahun 2022. Insya-Allah Pahang terus makmur dan maju,” katanya