Orang Raub dapat pokok buah-buahan percuma

Orang Raub dapat pokok buah-buahan percuma

RAUB: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub mengagihkan kira-kira 200 pokok buah-buahan kepada pengunjung pasar minggu di Raub. 

Acara itu diadakan sempena Program Penghijauan Malaysia dan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di seluruh negara.

Pegawai Hutan Daerah Raub, Shahril Mohamad berkata, program berkenaan mendapat kerjasama Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat, Rotan Tunggal, yang menyediakan pokok buah-buahan.

Menurutnya, antara pokok yang diagihkan ialah kedondong, jambu air, asam jawa, belimbing, mangga, mata pelanduk dan gajus. 

Katanya, pengunjung turut didedahkan dengan peranan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan PHD Raub dalam usaha pemulihan hutan dan penguatkuasaan.

“Mereka yang diberi pokok terlebih dahulu perlu memuat turun aplikasi Penghijauan Malaysia dan mendaftar jumlah pokok yang di tanam. 

“Kempen akan diteruskan setiap minggu keempat setiap bulan bagi menggalakkan penyertaan orang awam dalam menjayakan program berkenaan,” katanya.

Shahril berkata, pihaknya akan terus mengadakan program menghijaukan kawasan hutan di daerah ini secara berterusan. – MOHD IMRAN IZZAD.