ROMPIN: Keserasian rakyat dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) di daerah ini begitu mendalam sejak sekian lama.
Kebolehan pemimpin yang menyandang kerusi Parlimen Rompin dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman menyelami hati golongan muda, dewasa dan warga emas antara faktor keserasian itu.
Bagi Idham Solehim Rasli, 22, pemimpin yang selalu turun padang untuk bertemu rakyat dalam apa juga keadaan menjadikan mereka mudah diterima.
Menurutnya, di peringkat Parlimen Rompin, Dato’ Sri Hasan Arifin dan DUN Tioman, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain sentiasa bertemu dengan rakyat untuk mendapat maklumat apa juga masalah dihadapi.
“Sebagai pengundi muda yang kali pertama mengundi saya akan memilih calon BN. Saya mengharapkan dengan kemenangan mereka lebih banyak kemajuan dapat dibawa ke daerah ini.
“Saya juga berharap rakan-rakan pengundi muda dapat turut sama memilih calon BN Parlimen Rompin dan DUN Tioman pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini,” katanya, di sini, semalam.
Sementara itu, bagi Ros Haliza Roslan, 40, hanya Kerajaan BN sahaja dapat mengubah nasib rakyat bukan parti lain yang lebih pandai berjanji sahaja.
“Saya berharap pengundi di daerah ini dapat setia mengundi calon BN di kerusi Parlimen Rompin termasuk DUN Muadzam Shah, DUN Tioman dan DUN Ibam.
“Dengan kemenangan mereka pastinya akan memberi sinar yang lebih cerah pada rakyat,” katanya yang menetap di Kampung Pantai Bernas. – MOHD IMRAN IZZAD