Oleh Muhammmad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
PEKAN: Akibat melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkaitan larangan aktiviti ziarah sempena Aidilfitri, seorang kontraktor dikompaun RM4,000 di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof berkata, lelaki berumur 45 tahun itu dikompaun selepas hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan, semalam.

Katanya, kompaun itu dikeluarkan selepas polis menerima aduan daripada orang ramai berhubung video aktiviti kunjung mengunjung sempena hari raya Aidilfitri.
“Dalam video yang tular itu, beberapa orang kelihatan sedang berada di kediaman lelaki itu sedang makan dan bersembang.
“Bertindak atas maklumat, polis berjaya mengesan dan menghubungi lelaki itu semalam, memintanya hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan untuk siasatan.
“Lelaki itu mengaku kesalahan dan kompaun RM4,000 dikeluarkan atas kesalahan melanggar Peraturan 16 P.U (A) 225/2021 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 (Akta 342),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP PKP yang ditetapkan dalam usaha membantu memutuskan rantaian penularan COVID-19.