Izzah Yusoff
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Gambar hiasan
KUANTAN: Polis mengeluarkan 98 kompaun yang setiap satunya sebanyak RM5,000 dalam operasi pemantauan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuantan sejak 24 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, polis tidak akan berkompromi dan sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memaastikan orang ramai patuh kepada SOP ditetapkan untuk mengekang penularan COVID-19 di daerah ini.
“Terbaru, empat pekerja di dua pasar raya di sini dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 seorang kerana melanggar SOP, hari ini.
“Kita dapati kakitangan di dua pasar raya terbabit tidak ada penjarakan fizikal ketika menjalankan tugas,” katanya selepas melakukan pemaintauan di beberapa lokasi di sini, hari ini.
Menurutnya, polis tidak akan berkompromi kepada yang melanggar SOP dan ini tertakluk kepada semua bukan sahaja pelanggan tetapi juga dalam kalangan kakitangan.
“Dalam operasi pemantauan yang dilakukan, kita dapati masih ada lagi orang awam yang bersikap acuh tidak acuh terhadap peraturan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.