PEKAN: Durian ‘BMW Beserah’ adalah antara lapan puluh satu jenis durian kampung premium yang terkini terdapat di Pahang.
Rasanya manis berlemak, isi kuning, oren dan tebal serta ulas yang banyak antara ciri yang terdapat pada durian berkenaan.
Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Pahang, Muhd Rizal Baharom berkata, lapan puluh satu jenis durian kampung premium yang direkodkan itu terdapat di enam daerah di Pahang.
Menurutnya, dua daerah terbanyak ialah Pekan dan Jerantut iaitu masing-masing 21 jenis diikuti 14 jenis di Kuantan, 13 jenis di Lipis, Temerloh (7) dan Raub (5).
“Lapan puluh satu durian kampung premium yang ada kini ditemui selepas pemiliknya menyertai pertandingan durian kampung premium yang diadakan anjuran pejabat pertanian di enam daerah sepanjang bulan ini.
“Jumlahnya dijangka bertambah apabila pertandingan sama akan diadakan di Bentong pada Khamis ini,” katanya.
Beliau berkata, jabatan ingin meletakkan durian kampung bermutu setaraf durian klon seperti yang berlaku terhadap durian kunyit yang kini digelar Musang King. – MOHD IMRAN IZZAD