Pahang ajak pelancong duduk di kampung, kutip dan makan durian

Pahang ajak pelancong duduk di kampung, kutip dan makan durian

JERANTUT: Kerajaan negeri akan menjadikan Mukim Ulu Cheka, dekat sini, sebagai hub durian kampung premium melalui program pelancongan durian.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Dato’ Nazri Ngah berkata, beberapa desa seperti Kampung Baharu, Damak, Perlok, Batu Balai, Cengkuak dan Ulu Cheka memang terkenal dengan durian kampung premium sejak puluhan tahun dahulu. 

“Lebih menarik terdapat pelbagai nama unik antaranya Kepala Gajah, Ganja, Tangkai Panjang, Sri Damak, Mas Hijau, Kulit Buaya, Damak King, Tembaga Damak dan Saka Damak. 

“Kebanyakan kebun durian milik penduduk kampung adalah dusun durian yang wujud sejak puluhan tahun dahulu dan sudah terkenal sehingga ke Lembah Klang,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas Pertandingan Durian Kampung Premium peringkat daerah Jerantut  di  Dewan Sri  Damak, di sini, pada 8 Julai lalu.

Hadir sama, Pegawai Pertanian Daerah Jerantut, Rafeah Rabiatun Othman. 

Nazri  yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, berkata dalam masa yang sama, penduduk boleh menyediakan anak benih durian kampung bermutu kepada pengunjung yang ingin membelinya.

Katanya, penduduk kampung juga digalakkan menyediakan inap desa bagi memberi peluang pelancong merasai suasana kampung dan mengutip sendiri durian yang gugur. 

“Program inap desa berasaskan kebun durian adalah satu tarikan baharu bagi pelancong. Saya rasa ramai yang ingin makan durian kampung bermutu, duduk di inap desa dan kutip durian sendiri,” katanya.