TEMERLOH: Kerajaan Pahang akan membina pusat tahfiz khas untuk Orang Asli untuk melahirkan lebih ramai guru agama di kalangan masyarakat itu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata pusat tahfiz berkenaan akan dibina di Pekan.
“Saya sudah bertemu dengan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Yayasan Pahang mengenai cadangan untuk membina pusat tahfiz tersebut.
“MB sudah bersetuju dan meminta Yayasan Pahang membuat reka bentuk dan anggaran kos untuk membangunkan pusat tahfiz itu,” katanya.
Beliau berkata dalam program Khatan Beramai-Ramai Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau membabitkan seratus kanak-kanak di kediamannya, di Kuala Tekal, dekat sini, hari ini.
Sehingga ini, katanya, Pahang sudah mempunyai tiga pusat tahfiz iaitu Tahfiz Profesional di Tanjung Lumpur, Tahfiz Turas di Balok dan Tahfiz Kemahiran TVET di Tanjung Lumpur, Kuantan.
Syed Ibrahim berkata, memang ada guru agama di kalangan Orang Asli tetapi bilangan mereka belum mencukupi.
“Diharapkan pusat tahfiz itu nanti dapat melahirkan ramai cerdik pandai agama dalam kalangan masyarakat itu yang masih berkurangan ketika ini,” katanya.