Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Kerajaan negeri akan mempertingkatkan sesi penerangan dan kesedaran kepada rakyat Pahang yang belum mendaftar untuk menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Dato’ Sri Norolazali Sulaiman, berkata dengan penerangan melalui media massa dan media sosial, kerajaan negeri yakin jumlah rakyat akan bertambah.
Selain itu, katanya, program kesedaran turut membabitkan kawasan pedalaman dalam memberikan maklumat berkaitan vaksinasi.
“Sehingga ini, pelbagai langkah dilakukan termasuk menyeru rakyat yang belum mendaftar di masjid dan surau terutama ketika khutbah Jumaat.
“Dengan langkah ini, kita percaya rakyat bersedia untuk menerima suntikan vaksin dalam usaha menyekat penularan wabak COVID-19 di negara ini.
“Pada masa sama, bekalan vaksin perlu dipertingkatkan untuk memastikan kelancaran proses menerima suntikan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang sehingga 2 September lalu, daripada 1,17 juta jumlah populasi dewasa di Pahang, masih terdapat 223,386 orang belum mendaftarkan diri untuk menerima suntikan vaksin.
Sehubungan itu, mereka yang belum berbuat demikian boleh mendaftar melalui aplikasi MySejahtera, melayari laman sesawang vaksincovid.gov.my atau menghubungi 1-800-888-828.