Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Pahang muncul antara tiga negeri di Malaysia yang merekodkan nilai dagangan tertinggi tahun lalu dengan catatan sebanyak RM3.5 bilion.
Lebih membanggakan, prestasi memberangsangkan itu dicapai tatkala nilai dagangan negara menguncup kepada RM1.78 trilion pada 2020, turun 3.6 peratus berbanding RM1.84 trilion tahun sebelumnya.
Malah, ia dicapai ketika dunia berdepan pelbagai kekangan disebabkan penularan pandemik COVID-19.
Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian itu sebahagian besarna dirangsang oleh perancangan dasar dan inisiatif pelaburan aktif oleh kerajaan negeri yang diperkenal dan dilaksanakan sejak 2018.
“Menerusi laporan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia yang diumumkan semalam, tiga produk perdagangan eksport utama Pahang pada tahun lalu ialah besi dan keluli yang bernilai RM 10.49 bilion atau 36.4 peratus; ‘oleochemical’ (produk berasaskan sawit ) sebanyak RM1.97 bilion (6.9 peratus) dan minyak sawit sebanyak RM 984 juta (3.4 peratus).
“Bagi import pula, tiga produk utama Pahang ialah produk petroleum ditapis sebanyak RM1.31 bilion (13.3 peratus); barangan pembinaan besi dan keluli, RM576 juta (4.2 peratus) serta produk lain berasaskan besi dan keluli, RM436 juta (3.2 peratus),” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.
Beliau berkata, meskipun berdepan pelbagai cabaran dalam semua sektor ekonomi di Malaysia, kerajaan negeri tetap komited untuk memastikan perdagangan dalam negeri berada dalam keadaan stabil dan progresif.
Katanya, antara usaha dilakukan kerajaan negeri ialah menubuhkan Pusat Sehenti di Kawasan Perindustrian Gebeng bagi memudah cara dan menyegerakan proses kemasukan pelaburan ke negeri ini.
“Pada suku pertama 2020 (Januari hingga Mac), kerajaan negeri berjaya membawa masuk pelaburan bernilai RM91 juta. Kita juga berjaya menarik pelaburan bernilai RM1.21 bilion dari Thailand.
“Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada sosio-ekonomi negeri, malah aspek pertukaran teknologi dalam bidang pertanian dan bio-teknologi,” katanya.
Selain itu, katanya, Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) pula menerima pelaburan RM9.38 bilion hasil daripada 40 projek.
“Angka-angka positif ini ialah penanda aras bahawa ekonomi Pahang berada dalam keadaan sihat dan berfungsi secara optimum selain ekosistem pembangunan ekonomi bersifat holistik dan ‘rakyat-centric’ (berpaksikan rakyat) bagi memastikan manfaatnya dapat terus dirasai setiap anak Pahang,” katanya.