Pahang bakal bangunkan projek lembu Wagyu 

Pahang bakal bangunkan projek lembu Wagyu 

KUANTAN: Kerajaan negeri komited untuk memperkasakan lagi bidang sekuriti makanan menerusi pelaksanaan Projek Pembangunan Wagyu Pahang di daerah Bera dan Lipis. 

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Projek Pembangunan Wagyu Pahang akan dilaksanakan dengan kerjasama dengan syarikat Farm Fresh Berhad. 

“Saya sudah mempengerusikan Mesyuarat Kick-Off Projek Pembangunan Wagyu Pahang bersama Farm Fresh bagi membincangkan pelaksanaan projek lembu Wagyu di negeri ini. 

“Projek akan dilaksanakan di Ulu Mengkarak, Bera dan Kampung Tanjung Gahai, Lipis bagi memajukan sektor penternakan khususnya lembu wagyu yang terkenal kerana kualiti dan keenakan dagingnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. 

Wan Rosdy berkata, pembangunan projek yang membabitkan kos pelaburan kira-kira RM12 juta dengan dengan sasaran 1,200 lembu wagyu sudah tentu akan merancakkan lagi pengeluaran produk daging segar di negeri ini. 

“Saya berharap perbincangan ini dapat direalisasikan bagi memastikan kesungguhan Kerajaan Pahang dalam memperkasa bidang sekuriti makanan dalam negeri ini tercapai dengan jayanya sekali gus memberi kesan langsung kepada rakyat Pahang,” katanya. – FATH AHNAF