Pahang bakal miliki pangkalan data E-Jawi Makmur pertama negara

Pahang bakal miliki pangkalan data E-Jawi Makmur pertama negara

BENTONG: Pahang bakal menjadi negeri pertama di Malaysia mempunyai pengkalan data rasmi bagi kalimah dalam tulisan Jawi yang dikenali sebagai E-Jawi Makmur.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dr Asmadi Abdul Rahman, berkata kemudahan yang diiktiraf Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu boleh digunakan pelbagai pihak apabila dilancarkan nanti.

Beliau berkata, agensi kerajaan, syarikat swasta dan individu yang berminat boleh mengakses ejaan yang betul bagi perkataan dan istilah dikehendaki.

Katanya, usaha menyediakan pangkalan data tulisan Jawi yang pertama itu dilakukan MUIP dan dibangunkan oleh munsyi terdiri daripada kumpulan pakar tulisan Jawi yang diiktiraf Dewan Jawi DBP.

“Pahang kini mempunyai seramai 38 munsyi yang ditauliah DBP. Mereka terdiri daripada golongan profesional dari MUIP, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Kolej Universiti Sultan Haji Amad Shah (Kuipsas) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selain Kelas al Quran dan Fardhu Ain (Kafa). 

“Mereka ini amat berpengalaman luas dan mahir dalam bidang masing-masing,” katanya pada Majlis Penutup Bengkel Munsyi Pahang yang disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Dato’ Ahmad Hairi Hussain, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Dr Asmadi berkata, program tiga hari itu bertujuan untuk semakan ejaan sebelum dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi.

“Selain pangkalan data, sistem berkenaan dilengkapi maklumat ejaan istilah terkini, nama hotel, syarikat perniagaan, tempat, jalan dan tokoh.

“Rujukan utama ialah Daftar Kata Bahasa Melayu (DKBM) dengan Panduan Umum Ejaan Jawi  2020.

“Diharapkan E-Jawi Makmur ini akan dimanfaatkan bukan sahaja oleh warga Pahang tetapi juga seluruh rakyat Malaysia,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD