Pahang bakal pengeluar utama cendawan tiram

Pahang bakal pengeluar utama cendawan tiram

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

PEKAN: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan menjadikan Pahang sebagai negeri pengeluar utama cendawan tiram kelabu yang diusahakan oleh ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK). 

Kini terdapat tiga PPK terbabit dengan projek berkenaan iaitu PPK Kuantan Utara, PPK Pekan dan PPK Merapok yang mengusahakan kira-kira 105,000 bongkah dengan hasil 760 kilogram cendawan seminggu.

Ketua Pengarah LPP, Dato’ Azulita Salim berkata, usaha menggalakkan pembabitan PPK di negeri ini mengusahakan tanaman cendawan sedang giat dilakukan dengan kerjasama LPP Pahang.

“Di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi berikutan wabak Covid-19 tahun lalu bantuan khas kira-kira RM200,000 disediakan kerajaan kepada setiap PPK dalam usaha merancakkan semula sektor pertanian yang terjejas sebelum ini.

“PPK Pekan menggunakan bantuan itu untuk membesarkan lagi projek tanaman cendawan tiram kelabu yang diusahakan oleh seorang ahlinya,” katanya selepas projek cendawan tiram PPK Pekan, di sini, semalam. Hadir sama, Pengarah LPP Pahang Dzulfadli Johan.

Azulita berkata, kejayaan Pahang diharap menjadi contoh pada PPK di negeri lain yang ingin terbabit dalam projek tanaman cendawan, tanpa memerlukan modal yang besar.

Sementara itu, Dzulfadli berkata, LPP Pahang menerima peruntukan RM4.5 juta bagi membantu 22 PPK seluruh negeri menjayakan projek berdaya maju antaranya sektor pertanian, ternakan dan akuakultur.

Katanya, LPP menyediakan peruntukan RM520,000 untuk menjayakan projek tanaman cendawan oleh PPK Pekan, PPK Kuantan Utara dan PPK Merapoh membabitkan 105,000 bongkah cendawan. 

“Kita mempelawa PPK lain di negeri ini untuk menceburi projek tanaman cendawan, bantuan modal serta latihan akan disediakan,” katanya.