Pahang bakal tarik pelaburan luar bernilai RM5.5 Bilion

Pahang bakal tarik pelaburan luar bernilai RM5.5 Bilion

KUANTAN: Kerajaan Pahang menerusi Badan Berkanun Negeri Pahang, memeterai perjanjian pelaburan bernilai RM5.5 bilion membabitkan beberapa syarikat dari China, Korea Selatan, Singapura dan Thailand di Johor Bahru, hari ini. 

Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata perjanjian membabitkan enam projek pelaburan itu bakal merancakkan pertumbuhan dan kemajuan ekonomi dalam pelbagai sektor di negeri ini.

Beliau berkata, inisiatif diperkenalkan kerajaan negeri itu juga bakal menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Pahang terutama golongan muda.

Katanya, melalui perjanjian berkenaan, enam projek pelaburan akan dilaksanakan iaitu membabitkan Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) dengan Ciptaan Gabungan Global Sdn Bhd (Golden Prosperous International Pte Ltd) dari Singapura menerusi projek kilang pengeluaran aloi Mangan, berkeluasan 100 ekar di Gebeng, Kuantan, dengan nilai pelaburan RM1 bilion.

“Projek kedua antara PSK dengan Golden Sea Farm (M) Sdn Bhd dari Thailand, membabitkan Projek Taman Akuakultur Penternakan Udang, berkeluasan 160 ekar di Rompin, dengan nilai pelaburan RM40 juta, ketiga, antara PSK dengan BAF Aqua Sdn Bhd (BAF Pte Ltd) dari Thailand, membabitkan Projek Ternakan Udang dan Ikan Berteknologi Tinggi, berkeluasan 130 ekar di Rompin (RM105 juta).

“Seterusnya membabitkan projek antara Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dengan IBN Lovocean Sdn Bhd (South Ocean Development LLP) dari Singapura iaitu Projek Pelancongan Rompin Eco Tourism Park, berkeluasan 231 ekar di Sempadan Rompin-Pekan (RM90 juta); Pahang Go Sdn Bhd dengan M-Trip Sdn Bhd dari China, iaitu Projek Aplikasi Mudah Alih Bagi Pelancongan di Pahang (RM66 juta) serta TGA Solutions Sdn Bhd (TGAS) dengan Pekan Power Plant Sdn Bhd dari Korea, membabitkan cadangan pembangunan janakuasa Elektrik 1,200MW, berkeluasan 100 ekar di Tanjung Agas, Pekan, (RM4.21 billion),” katanya.

Beliau berkata demkian selepas menyaksikan upacara perjanjian berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, sepanjang 2021, kerajaan negeri berjaya menarik pelaburan bernilai RM10.8 billion yang membabitkan RM987 juta daripada pelaburan domestik dan RM9.8 billion lagi pelaburan antarabangsa.

“Bagi 2022 pula, kerajaan negeri menetapkan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) pelaburan Pahang bernilai RM18 billion dan kita yakin ia mampu dicapai berikutan berdasarkan maklumat terkini, potensi pelaburan di bawah seliaan Unit Antarabangsa ketika ini dianggarkan bernilai RM45.7 bilion.

“Jumlah RM45.7 bilion ini membabitkan 20 projek pelaburan langsung domestik (DDI) dan 42 projek pelaburan langsung asing (FDI). Perincian 62 projek berpotensi ini membabitkan 33 projek dalam pra-rundingan; dua projek dalam rundingan; 18 projek menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan sembilan projek lagi sudah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA).

“Projek-projek berpotensi ini merangkumi pelabur dari 10 negara iaitu China, Singapura, Thailand, Indonesia, Australia, Hong Kong, Switzerland, Perancis, Korea Selatan dan Malaysia sendiri,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Pahang juga komited menyediakan persekitaran kondusif dengan kestabilan politik meyakinkan bagi menarik minat pelabur mengembangkan perniagaan dan menanam modal di negeri ini.

“Sesungguhnya, Kerajaan Pahang sentiasa berusaha sehabis baik untuk memastikan negeri ini dapat dibangun dan dimajukan secara menyeluruh dan seimbang demi manfaat rakyat,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN