Pahang beralih ke Fasa Tiga PPN mulai Jumaat

Pahang beralih ke Fasa Tiga PPN mulai Jumaat

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@gmail.com

KUALA LUMPUR: Pahang akan beralih ke Fasa 3 daripada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai Jumaat ini.

Keputusan itu diambil pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik, hari ini.

Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, berkata peralihan fasa itu mengikut garis panduan yang ditetapkan PPN.

Katanya, ia mengambil kira kemasukan ke hospital bagi kes bergejala, penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) serta peratusan lengkap divaksinasi.

“Turut beralih fasa ialah Negeri Sembilan beralih daripada Fasa 3 kepada Fasa 4 dan Johor daripada Fasa 1 kepada Fasa 2.

“Keputusan ini juga dilakukan berdasarkan penilaian risiko semasa yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 2, 3 dan 4 adalah sama seperti sebelum ini.

“Keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN di laman web rasmi www.mkn.gov.my,” katanya.

Ismail Sabri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik berkata, rentas negeri dibenarkan dengan syarat mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat KKM.

“Pembukaan pusat pelancongan, pulau atau kawasan pelancongan turut dibenarkan apabila mencapai kadar vaksinasi itu manakala operasi perniagaan spa, pusat kesihatan dan urut kesihatan dibenarkan kepada pengunjung dan operator yang sudah menerima dos lengkap vaksin bermula 1 Oktober ini.

“Pusat, premis dan produk pelancongan seperti zoo, perladangan, akuarium, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing dan taman rimba, juga dibenarkan beroperasi di semua fasa PPN berkuat kuasa 1 Oktober ini dengan semua pengusaha, operator dan pelawat atau pengunjung lengkap divaksin,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan berharap dengan kelonggaran yang diberikan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat dengan penuh displin dan rasa tanggungjawab.

“Patuhilah setiap SOP ditetapkan, pakai pelitup muka, amalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan diri,” katanya.