KUANTAN: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang hanya akan dibubarkan selepas Belanjawan 2023 diluluskan, kata YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau menjelaskan, kelulusan belanjawan yang dibentangkan Jumaat lalu itu sangat penting bagi memastikan segala perancangan untuk rakyat Pahang dapat dilaksanakan.
“Kita nak luluskan dulu (belanjawan), sebab belanjawan yang dibentangkan di sidang dewan itu sangat penting untuk rakyat.
“Jadi kita nak dapat kelulusan supaya kerajaan (negeri) boleh berbelanja untuk rakyat. Kalau tak (lulus) penjawat awam tak dapat sebulan setengah tu kalau tak lulus, lulus saja (belanjawan) ‘anytime’ (boleh bubar),” katanya pada sidang media di Wisma Sri Pahang,Pahang hari ini.
Terdahulu, Wan Rosdy menerima kunjungan Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, M Ahmad Shazly Ramli.
Dalam kunjungan hormat itu, PETRONAS menyerahkan sumbangan kepada Kerajaan Pahang dan agensi berkaitan bagi persiapan menghadapi banjir. – KHALEEF FITRI