Rompin FA giat latih pengadil wanita

Rompin FA giat latih pengadil wanita

PERSATUAN Bolasepak Daerah Rompin (Rompin FA) akan melahirkan lebih ramai pengadil wanita dari daerah itu.

Sehingga ini, sebelas wanita sudah dilatih sebagai pengadil untuk perlawanan peringkat daerah, negeri dan negara sejak 2018.

Ketua Pembangunan Pengadil Rompin FA, Mohd Radzi Abdul Manan berkata berdasarkan pencapaian, Rompin FA pernah melahirkan pengadil kebangsaan, Azlina Mohd Nong.

“Azlina lulus dalam Peperiksaan Bertulis Pengadil Kebangsaan Kelas Satu pada 2020. Tahun ini, empat wanita dari Rompin FA berminat untuk menjadi pengadil,” katanya.

Beliau berkata, daripada empat wanita yang berminat menjadi pengadil, dua daripadanya adalah masyarakat Orang Asli di Kuala Rompin, Rompin.

Katanya, mereka adalah Zurina Jamal, 22 dan Rosyafika Rohamad, 19, manakala dua lagi Arni Atikah Makmur, 22, dan Afiqah Amalia Hanafi, 22.

Empat wanita itu baru selesai menamatkan Kursus Pengadil Bolasepak Kelas III Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang diadakan di Kuantan, baru-baru ini.