Pahang catat 210 kes baharu COVID-19

Pahang catat 210 kes baharu COVID-19

Fath Ahnaf

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar hiasan

KUANTAN: Pahang mencatatkan 210 kes jangkitan baharu COVID-19 sekali gus menjadikan jumlah kes keseluruhan sebanyak 13,666 setakat hari ini. 

  Pengarah Kesihatan Pahang, Dato’ Dr Bahari Dato’ Tok Muda Che Awang Ngah berkata, berdasarkan jumlah kes baharu yang didaftarkan hari ini, sebanyak 197 kes membabitkan rakyat tempatan manakala 13 kes lagi warga asing.

  “Sebanyak 209 kes dikategorikan sebagai jangkitan tempatan dan satu kes import  iaitu dari Selangor.

  “Terdapat 143 kes diperoleh daripada saringan kluster, 58 saringan kontak rapat, lapan saringan bergejala dan satu saringan pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini. 

  Menurutnya, terdapat sembilan daerah mencatatkan pertambahan kes dengan kes tertinggi dicatatkan di daerah ini iaitu 90 kes diikuti Temerloh (42 kes), Jerantut (35 kes), Bera (16 kes), Bentong (sembilan kes), Pekan (lapan kes), Maran (lima kes), Cameron Highlands (empat kes) dan Lipis (satu kes).  

  “Dukacita dimaklumkan bahawa terdapat tiga kes kematian baharu dilaporkan ke Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian di Pahang meningkat kepada 131 kes.

  “Kes ke-129 membabitkan perempuan Melayu berusia 52 tahun dari Felda Tembangau 3, Bera dan kes ke-130 pula seorang warga emas lelaki Melayu berusia 76 tahun dari Kg Kenangan, Lanchang, Temerloh.

  “Manakala kes kematian ketiga adalah kes ke-131 iaitu seorang lelaki Melayu berusia 49 tahun dari Taman Sri Semantan Permai, Temerloh. Ketiga-tiga kes terbabit mempunyai kaitan dengan Kluster Rantau Kenanga,” katanya. 

  Sementara itu, beliau berkata, terdapat satu kluster baharu dilaporkan pada hari ini iaitu Kluster Meranti Indah di Bera.

  “Nama kluster merujuk kepada lokaliti rumah kes indeks di Kampung Kuala Triang yang disyaki berlakunya penularan wabak dalam kalangan ahli keluarga, seterusnya merebak ke tempat kerja  seorang daripada ahli keluarga berkenaan.

  “Seramai 44 individu disaring dalam kluster ini yang mana 16 daripadanya didapati positif COVID-19,” katanya.