Pahang catat lebihan sebanyak RM5.7 juta bagi Belanjawan 2022

Pahang catat lebihan sebanyak RM5.7 juta bagi Belanjawan 2022

KUANTAN: Kerajaan negeri membentangkan Belanjawan 2022 Pahang membabitkan peruntukan sebanyak RM1.031 bilion dengan lebihan sebanyak RM5.7 juta.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata peruntukan itu akan digunakan bagi perbelanjaan mengurus yang merangkumi perbelanjaan emolumen, perkhidmatan dan Bekalan; pemberian dan kenaan bayaran tetap serta perbelanjaan lain dan aset. 

Katanya, anggaran perbelanjaan mengurus untuk 2022 meningkat sebanyak 235.57 juta ringgit atau 29.61 peratus berbanding tahun lalu. 

“Oleh yang demikian, anggaran Belanjawan 2022 (Pahang) menunjukkan ‘surplus’ (lebihan) sebanyak 5.79 juta ringgit. 

“Bagi perbelanjaan pembangunan, peruntukan adalah sebanyak RM323.26 juta, membabitkan projek infrastruktur sejumlah RM171.98 juta dengan pembiayaan cara langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2022 Pahang di Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak RM151.28 juta adalah daripada pinjaman bagi membiayai projek bekalan air.

“Projek ini akan menyumbang sebanyak 46.8 peratus daripada keseluruhan peruntukan projek pembangunan. Ini menunjukkan komitmen tinggi oleh kerajaan negeri dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dari segi bekalan air. 

“Secara keseluruhan, anggaran perbelanjaan pembangunan untuk 2022 telah meningkat sebanyak RM121.35 juta atau 60.1 peratus berbanding 2021,” katanya.

Menurutnya, belanjawan kali ini juga mengambil kira semua aspek dalam pemulihan pasca Covid-19.

“Belanjawan 2022 turut memberi tumpuan kepada keselesaan dan kesejahteraan rakyat melalui peningkatan perbelanjaan mengurus dan pembangunan. 

“Kerajaan Pahang telah dan akan sentiasa memastikan kesejahteraan rakyat sebagai matlamat utama dalam pentadbiran hari ini. 

“Tumpuan kita pada masa ini adalah meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri secara holistik dan juga memberi keutamaan kepada rakyat supaya dapat meneruskan kelangsungan kehidupan mereka setelah negara dilanda Covid-19.

“Oleh yang demikian, Belanjawan Tahun 2022 memberi fokus kepada lima strategi utama iaitu memenuhi keperluan asas rakyat, melengkapkan kemudahan asas rakyat, mensejahterakan kehidupan dan pembangunan sosio-ekonomi, pelan pemulihan pasca Covid-19 melonjak ekonomi negeri dan pemantapan pentadbiran,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN