KUANTAN: Kes demam denggi di Pahang menunjukkan penurunan 13 peratus kepada 215 kes sepanjang Januari hingga 11 Jun 2022 berbanding 247 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Dato’ Dr Nor Azimi Yunus berkata, dalam tempoh itu juga tiada kes kematian akibat demam denggi dilaporkan di negeri ini.
Menurutnya, Kuantan merekodkan kes tertinggi dengan 71 kes diikuti Temerloh (55 kes) dan Bentong (40 kes) daripada keseluruhan kes demam denggi yang dilaporkan tahun ini.
“Demam denggi agak mustahil untuk mencapai sifar kes memandangkan ia satu endemik yang sentiasa berlaku.
“Bagaimanapun, usaha perlu dilakukan secara berterusan bagi memerangi denggi daripada menjadi wabak tidak terkawal,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Program Gotong-Royong Mega 1.0 Perangi Aedes 2022 Peringkat Negeri Pahang di Taman Impianku, Jalan Sungai Lembing, yang disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuantan, Dato’ Hamdan Hussin.
Dr Nor Azimi berkata, pihaknya kini sudah mengeluarkan 462 kompaun keseluruhan RM231,000 terhadap pihak yang gagal menguruskan persekitaran premis sehingga berlaku pembiakan nyamuk aedes di negeri ini. – MOHD IMRAN IZZAD