Pahang catat pertambahan lebih 100 jangkitan COVID-19 baharu dalam tempoh sehari

Pahang catat pertambahan lebih 100 jangkitan COVID-19 baharu dalam tempoh sehari

Izzah Yusoff

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar hiasan

KUANTAN: Jumlah jangkitan baharu COVID-19 di negeri ini meningkat kepada 245 kes hari ini berbanding 131 kes semalam.

  Pengarah Kesihatan Pahang, Dato’ Dr Bahari Tok Muda Che Awang Ngah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 168 kes membabitkan rakyat tempatan manakala 77 kes lagi warga asing.

  Katanya, sebanyak 239 kes dikategorikan sebagai jangkitan tempatan dan enam kes import iaitu lima dari Terengganu dan satu Perak.

  “Terdapat 150 kes diperoleh daripada saringan kluster, 81 saringan kontak rapat, 12 saringan bergejala, satu saringan pra-prosedur dan satu saringan pra-kemasukan.

  “Sebanyak lapan daerah mencatatkan pertambahan kes dengan tertinggi dicatatkan di Kuantan  sebanyak 101 kes, diikuti Jerantut (47 kes), Cameron Highlands (38 kes), Maran (25 kes), Bentong (13 kes), Temerloh (13 kes), Bera (enam kes) dan Lipis (dua kes),” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

  Beliau berkata, terdapat tujuh kluster mencatatkan pertambahan kes iaitu Kluster Indera Mahkota 16 (pertambahan 55 kes dengan jumlah keseluruhan 71 kes), Kluster industri Indera Mahkota 14 (pertambahan 10 kes dengan jumlah keseluruhan 124 kes), Kluster Lorong Empat Jerantut (pertambahan 30 kes dengan jumlah keseluruhan 41 kes) dan Kluster Rantau Kenanga (pertambahan 29 kes dengan jumlah keseluruhan 275 kes).

  “Kluster Delima Raya pula mencatatkan pertambahan 10 kes dengan jumlah keseluruhan 144 kes, Kluster Selindang (pertambahan dua kes dengan jumlah keseluruhan 51 kes) dan Kluster Flora Blue Valley (pertambahan satu kes dengan jumlah keseluruhan 25 kes),” katanya.

  Menurutnya, terdapat satu kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Pasar Kemunting yang bermula dengan satu kes dilaporkan pada 21 Jun 2021 di daerah ini.

  “Nama kluster merujuk kepada lokaliti di mana disyaki berlaku penularan di tempat kerja yang bertempat di Jalan Seri Kemunting 2, Kemunting, Kuantan.

  “Kes indeks bagi kluster ini ialah seorang rakyat tempatan yang bekerja di lokasi berkenaan. Kes mula mengalami gejala demam dan sakit tekak pada 14 Jun 2021 dan hasil siasatan mendapati terdapat lima rakan sekerja lain yang disahkan positif COVID-19,” katanya.