PEKAN: Sekurang-kurangnya 4.9 juta pokok sudah ditanam di seluruh Pahang menerusi kempen penanaman lima juta pokok.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata jumlah itu adalah mewakili sebahagian daripada lebih 40 juta pokok yang ditanam di seluruh negara.
Menurutnya, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menerusi Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) perlu memastikan kempen penanaman 100 juta pokok dapat terus aktif sepanjang tahun.
“Malah, kita ada menyediakan peruntukan bagi membantu memulihara dan memelihara Tasik Chini yang banyak dibantu kerajaan negeri,” katanya pada Program Penanaman Pokok dan Penggayaan Tasik Chini, di sini, semalam.
Hadir sama YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Dato’ Rosli Isa dan Ketua Pengarah JPSM, Dato’ Indera Mohd Ridza Awang.
Kira-kira seribu pokok Merawan Siput Jantan dan Meranti Temak Nipis ditanam secara gotong-royong oleh 250 kakitangan JPNP, penduduk setempat, sukarelawan dan penuntut institut pengajian tinggi (IPT). – MOHD IMRAN IZZAD