KUANTAN: Kerajaan Pahang dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) memeterai Perjanjian Skim Hidroelektrik Ulu Jelai di Kuala Lumpur, malam tadi.
Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata langkah itu bagi memastikan keseimbangan ekosistem di kawasan operasi stesen janakuasa di Cameron Highlands itu terpelihara.
Katanya, projek berkenaan membolehkan kerajaan negeri memperoleh pendapatan melalui penggunaan sumber air bagi penjanaan tenaga elektrik, membekalkan air mentah dan mengawal selia tebatan banjir dan sistem pengairan selain dapat memelihara keseimbangan ekosistem di Ulu Jelai.
“Alhamdulillah, Kerajaan Pahang dan TNB berjaya memeterai Perjanjian Skim Hidroelektrik Ulu Jelai malam ini (malam tadi). Projek ini membolehkan Kerajaan Pahang memperoleh pendapatan melalui penggunaan sumber air bagi penjanaan tenaga elektrik, membekalkan air mentah, mengawal selia tebatan banjir dan sistem pengairan, di samping memelihara keseimbangan ekosistem di Ulu Jelai.
“Terima kasih TNB atas pelaksanaan projek ini serta komitmen berterusan dalam menyediakan kemudahan yang terbaik dan berkualiti demi kesejahteraan hidup rakyat di negara ini khususnya di Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, malam tadi. – HELMY ABD RAHMAN