Oleh Fath Ahnaf
fikrahpahang@gmail.com
RAUB: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang akan menerima empat lagi balai bomba dan penyelamat (BBP) baharu dijangka bermula November ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Sri Dr Ismail Abd Muttalib berkata, dua BBP terbabit kini dalam pembinaan manakala dua lagi masih di peringkat tender.
Menurutnya, dua BBP yang dalam pembinaan adalah di Kuala Krau, Temerloh dan Kuala Tahan, Jerantut yang kini sudah melebihi 80 peratus pembinaannya.
“BBP bakal dibina adalah di Gohtong Jaya, Bentong dan Sungai Lembing, Kuantan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Raub, di sini.
Turut hadir, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Hamdan Wahid, Pengarah JBPM Pahang, Ir Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Dato’ Sri Shahiruddin Ab Moin dan ADUN Batu Talam, Dato’ Abd Aziz Mat Kiram.
Sehingga ini, katanya, terdapat 26 BBP di seluruh Pahang daripada 324 BBP di seluruh negara.
Sementara itu, Dr Ismail berkata, BBP Raub mula beroperasi sejak 1960 dan dinaiktaraf pada 2016 bagi fasa satu dan 2017 untuk fasa dua serta siap sepenuhnya pada 30 Ogos lalu, membabitkan peruntukkan RM3.14 juta.