Pahang Digital 2021-2025 permudah urusan

Pahang Digital 2021-2025 permudah urusan

KUANTAN: Pelan Pahang Digital 2021-2025 yang dirangka Kerajaan Pahang diyakini mampu mewujudkan ekosistem digital komprehensif, saling berhubung serta berintegrasi antara sektor awam dan sektor swasta.

  Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata perancangan lima tahun itu untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

  Katanya, selain itu, ia mengoptimakan hasil negeri, memastikan budaya digital diterapkan dalam kehidupan rakyat Pahang serta memastikan Pahang Digital turut mendapat perhatian pelabur luar.

  “Berdasarkan perancangan, pelan Pahang Digital 2021 -2025 ini mempunyai tiga fasa pelaksanaan iaitu fasa pertama pada 2021-2022, fasa kedua (2023-2024) dan  fasa tiga (2025).

  “Tahun lalu, beberapa inisiatif digital yang dirancang pada fasa pertama berjaya dilaksanakan

seperti parkir digital, pembangunan aplikasi mobile PahangGo, pendigitalan urusan di agensi kerajaan serta di syarikat milik kerajaan khususnya yang membabitkan kutipan hasil secara digital,” katanya.

  Beliau berkata ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pahang Digital 2021-2025 yang disempurnakan KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di sini hari ini.

  Hadir sama, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

  Beliau berkata, pelan itu mula dirancang untuk diwujudkan pada 2020 membabitkan usahasama daripada agensi kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan serta wakil industri dalam beberapa siri bengkel yang diadakan.

  Katanya, pandangan rakyat juga diambil kira dengan laman sesawang diwujudkan bagi memudahkan rakyat memberikan pandangan.

  “Hasilnya empat teras dikenal pasti iaitu infrastruktur digital, kerajaan digital, inklusif digital dan industri digital,” katanya.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN