Pahang dijangka beralih ke Fasa 3 PPN tak lama lagi

Pahang dijangka beralih ke Fasa 3 PPN tak lama lagi

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.my

KUANTAN: Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail memberi bayangan Pahang kemungkinan besar akan beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) tifak lama lagi. 

Sehingga ini, katanya, tiga kriteria yang ditetapkan untuk ke fasa berkenaan sudah pun dipenuhi Pahang. 

“Tiga kriteria itu ialah jumlah jangkitan dalam komuniti dan pesakit di unit rawatan rapi (ICU) yang kian rendah manakala vaksinasi dos kedua mencapai kadar 40 peratus,” katanya. 

Wan Rosdy berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2021 Peringkat Pahang, di Perkarangan Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Pengarah Jabatan Penerangan Pahang, Sabaruddin Yeop Hamza dan Datuk Bandar MBK, Dato’ Hamdan Hussin.

Jika memperoleh kebenaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pahang akan bersama Perlis, Sarawak dan WP Labuan di Fasa 3 PPN. 

Selain itu, Wan Rosdy berkata, Pahang akan menerima 1.74 juta dos vaksin dalam tempoh tiga bulan bermula Ogos ini. 

“Kita jangkakan sehingga Oktober depan, kadar vaksinasi di Pahang akan mencapai kira-kira 80 peratus,” katanya.